fbpx

MyAz Zahra bantu semak produk pembiayaan peribadi koperasi

KUALA LUMPUR – Bagi membendung masalah penipuan melibatkan koperasi kredit di negara ini, MyAngkasa Az Zahra dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) telah membangunkan sebuah portal dalam talian iaitu MyAzZahra.

Pengarah MyAngkasa Az Zahra, Mohamad Shaharul Mohamad Shariff berkata, portal tersebut menghimpunkan produk pembiayaan milik koperasi yang mematuhi syariah dan memudahkan pemohon untuk memilih produk yang bersesuaian dengan keperluan mereka sebelum membuat permohonan secara dalam talian.

Menurutnya lagi, portal tersebut juga diwujudkan sebagai usaha meminimumkan penglibatan orang tengah atau ejen dengan cara menghubungkan terus pemohon kepada pihak koperasi.

“Usaha ini bagi mencegah unsur-unsur penipuan, manipulasi dan penganiayaan syarikat kredit atau ceti haram kepada pemohon terutamanya penjawat awam.

“Sistem permohonan pembiayaan memberikan kelebihan kepada pemohon untuk memilih, memohon dan memantau permohonan mereka secara mudah, telus, cepat dan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, portal tersebut turut merekodkan transaksi melalui fungsi jejak audit di mana pemohon dan koperasi boleh memantau secara ‘real-time’ iaitu mengetahui proses yang berlaku bagi menjamin ketelusan dan keyakinan kedua-dua pihak. -UTUSAN ONLINE

Artikel berkaitan